FITNAH: PENISTAAN YANG PERLU DIBENDUNG

26Nov

FITNAH: PENISTAAN YANG PERLU DIBENDUNG

Semua orang tahu bahawa fitnah boleh memusnahkan sesuatu peradaban. Sejarah telah membuktikan bahawa hanya dengan fitnah suatu peradaban yang ulung boleh tersungkur ke bumi. Malangnya fitnah pada masa kini sudah menjadi norma kehidupan masyarakat. Ia tidak lagi asing dalam masyarakat kita dan seolah-olah telah menjadi budaya masyarakat Malaysia. Amat menyedihkan budaya fitnah ini mendapat tempat yang utama dan dibincangkan oleh masyarakat arusperdana ketika ini. Masyarakat sudah tidak lagi segan silu memfitnah antara satu sama lain.

Mengikut undang-undang perbuatan fitnah boleh dilakukan melalui percakapan, dibuat dengan tulisan ataupun isyarat.

Mangsa fitnah pula  berhak mendapat pembelaan di mahkamah dalam dua keadaan iaitu dengan mendapat gantirugi atau pampasan terhadap perbuatan yang telah menjatuhkan nama baik mangsa. Dalam keadaan yang lain pula mangsa fitnah juga boleh melaporkan perbuatan fitnah tersebut sebagai suatu kesalahan yang jika sabitannya boleh dijatuhkan hukuman….

Terdapat dua kategori fitnah di dalam undang-undang negara iaitu libel yang bermaksud kata-kata yang disajikan dalam bentuk kekal yang biasanya terlihat oleh mata, seperti dalam sebuah buku, e-mel atau gambar. Manakala slander pula bermaksud kata-kata yang disajikan dalam bentuk sementara, biasanya ketika diucapkan atau dibuat dengan gerakan tubuh yang boleh merendahkan martabat seseorang.
Dalam kes sivil, kes fitnah dimulakan apabila seseorang mangsa menyaman seorang yang lain di bawah Akta Fitnah 1957 bagi mendapat perintah halangan ataupun gantirugi. Dalam kes jenayah pula apabila pendakwa mendakwa seseorang kerana melakukan jenayah  fitnah sebagaimana yang terdapat di dalam seksyen 499 hingga 502 Kanun Kesiksaan.

ISLAM MEMPUNYAI KAEDAH LEBIH KETAT BAGI MEMASTIKAN KEBENARAN SESUATU BERITA SUPAYA TIDAK TERPERANGKAP DENGAN BERITA BERUNSUR FITNAH. ALLAH MEMERINTAHKAN UMAT ISLAM MENYIASAT SETIAP BERITA YANG DITERIMA SEBAGAIMANA FIRMAN ALLAH BERMAKSUD: WAHAI ORANG YANG BERIMAN, JIKA DATANG KEPADA KAMU SEORANG FASIK MEMBAWA SESUATU BERITA, MAKA SELIDIK (UNTUK MENENTUKAN) KEBENARANNYA, SUPAYA KAMU TIDAK MENIMPAKAN SESUATU KAUM DENGAN PERKARA TIDAK DIINGINI, DENGAN SEBAB KEJAHILAN KAMU (MENGENAINYA) SEHINGGA MENYEBABKAN KAMU MENYESALI PERKARA YANG KAMU LAKUKAN.” (SURAH AL-HUJURAT, AYAT 6)

Berdasarkan ayat di atas fitnah merupakan penistaan yang perlu dibendung dan dikawal dari awal lagi oleh orang Islam. Mempercayai sesuatu berita fitnah tanpa menyiasat kebenarannya hanya akan menjadikan seseorang itu menghakimi seseorang yang lain dengan kejahilan dan prasangka.

Dalam perundangan Islam  fitnah terjadi pada zaman Rasulullah iaitu terhadap  Saidatina  Aisyah .Amat  besar bahaya fitnah  terhadap kelangsungan dakwah Rasulullah sehingga  Allah telah  membersihkan nama ‘Aisyah dengan menurunkan beberapa ayat di dalam surah An Nur  menjelaskan kesucian Aishah yang bermaksud:

“Mengapa pada waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: “Ini adalah suatu berita bohong yang nyata”. (Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal dia pada sisi Allah adalah besar. Dan mengapa kamu tidak berkata, diwaktu mendengar berita bohong itu: “Sekali-kali tidaklah pantas bagi kita memperkatakan ini. Maha Suci Engkau (Ya Tuhan kami), ini adalah dusta yang besar”.

Pada akhir tahun 34 Hijrah pula, pemerintahan Islam dilanda fitnah. Sasaran fitnah tersebut adalah terhadap Saidina Uthman hingga mengakibatkan beliau terbunuh pada tahun berikutnya.  Saidina Ali bin Abi Thalib  bermati-matian membela Saidina Uthman dan menyangkal tuduhan fitnah terhadap Saidina Uthman. Antara fitnah yang dikeluarkan terhadap Saidina Uthman ialah Uthman telah membakar mushaf-mushaf, sembahyang tidak diqasar sewaktu di Makkah, mengkhususkan sumber air untuk kepentingan dirinya sendiri dan mengangkat pejabat dari kalangan generasi muda. la juga mengutamakan segala kemudahan  untuk Bani Umayyah (golongannya) melebihi orang lain.”

Saidina Ali Khalifah selepas Uthman mempertahankan Utman dengan berkata “Mushaf-mushaf yang dibakar ialah yang mengandungi perselisihan dan yang ada sekarang ini adalah yang disepakati bersama keshahihannya. Adapun sembahyang  yang tidak diqasar sewaktu di Makkah, adalah kerana dia berkeluarga di Makkah dan dia berniat untuk tinggal di sana. Oleh kerana itu shalatnya tidak diqasar. Adapun sumber air yang dikhususkan itu adalah untuk ternak sedekah sehingga mereka besar, bukan untuk ternak unta dan domba miliknya sendiri. Umar juga pernah melakukan ini sebelumnya. Adapun mengangkat pejabat dari generasi muda, hal ini dilakukan semata-mata kerana mereka mempunyai kemampuan dalam bidang-bidang tersebut. Rasulullah SAW juga pernah melakukan ini hal yang demikian. Adapun beliau mengutamakan kaumnya, Bani Umayyah, kerana Rasulullah sendiri mendahulukan kaum Quraish daripada bani lainnya. Demi Allah seandainya kunci syurga ada di tanganku, aku akan memasukkan Bani Umayyah ke syurga.”

Saidina Ali mempertahankan Uthman walaupun beliau adalah Khalifah selepas Uthman. Saidina Ali tidak cuba menjatuhkan Saidina Uthman yang menjadi Khalifah dengan menabur fitnah. Bukan matlamat untuk merampas kuasa menjustifikasikan untuk membuat fitnah.  Berbalik kepada kisah Saidatina Aisyah yang difitnah termasuk oleh Hassan bin Thabit yang  sangat berpengaruh tetapi terjebak dalam mempercayai fitnah terhadap Aishah. Anak saudara Aisyah iaitu Urwah bin Zubair al Awwam  yang sudah tidak tahan dengan fitnah tersebut telah mengadu kepada Aisyah. Namun Aisyah menjawab “Anak saudaraku, biarkanlah dia. Dia pernah membela Rasulullah dengan syairnya.”

Begitulah cara ‘Aisyah melihat pada Hassan. Keseluruhan hidupnya adalah mulia, tetapi satu ketika dia melakukan kesilapan, namun itu bukan alasan untuk merendahkannya. ‘Aisyah telah membela Hassan ketika dia dicemuh oleh anak saudaranya.

Jelaslah di dalam Islam terdapat cara bagaimana memerangi fitnah sehinggakan orang yang difitnah juga membela orang yang memfitnah itu atas kesedaran dan keinsafan di dalam agama. Berbeza dengan apa yang belaku sekarang fitnah dilawan dengan fitnah yang lain yang akhirnya akan menjadikan masyarakat awam yang terkeliru.

Dalam keghairahan menegur kesilapan pemimpin pula ramai dari kalangan kita yang terlalu obses mahu mengenengahkan kesalahan pemimpin. Sudah tidak ada adab lagi dalam menegur pemimpin pada ketika ini. Sebenarnya Islam mengajar kita berahsia semasa menasihati pemimpin samada pemimpin di peringkat persatuan ataupun pemimpin negara. Ini adalah penting demi mengelak tersebarnya rasa tidak puas hati di dalam organisasi.

Kita boleh mengambil iktibar peristiwa sewaktu Rasulullah membahagikan harta rampasan perang, baginda tidak memberinya pada seorang sahabat yang baru memeluk Islam  bernama Ju’ail bin Suraqah. Mungkin baginda tidak menyedarinya ataupun ada sebab yang lain. Sa’ad ibn Abi Waqqas berkata “Aku pergi berjumpa Rasulullah SAW dan memberitahunya perlahan-lahan: Mengapa baginda  tidak memberi pada si Ju’ail  itu. Demi Allah, saya kira dia seorang yang beriman.”

Di dalam mengulas riwayat ini Ibn Hajar menegaskan  bahawa  memberi nasihat secara rahsia lebih baik dari secara terang-terangan. Ia menjadi wajib bila secara terang-terangan itu menimbulkan fitnah.” Adalah suatu yang haram untuk memberi nasihat secara terbuka kepada seorang pemimpin. Semasa zaman para sahabat pula terdapat salah seorang amir yang melakukan kesilapan. Lalu orang pun bertanya kepada Usamah bin Zaid, pemimpin tentera menentang Rom, mengapa dia tidak menegur amir tersebut. Lalu dijawab Usamah “Anda menyangka saya tidak berbincang dengannya. Saya sering berbincang dengannya secara tertutup. Saya enggan membuka pintu fitnah dengan menegurnya secara terbuka.”

Dalam hal yang demikian menegur pemimpin negara secara terang-terangan bukanlah suatu perkara yang amat dianjurkan oleh Islam kerana masih terdapat ruang-ruang dialog dan perbicangan. Selagi ruangan ini masih tidak disekat oleh pemimpin masyarakat umum hendaklah menggunakan segala ruang dan peluang yang ada bagi menasihati pemimpin dengan cara yang dianjurkan itu. Ia bertujuan bagi memelihara keamanan dan kepentingan negara dikekalkan. Sejarah Islam telahpun mengajar kita bagaimana menangani sesuatu krisis dengan cara yang penuh berkhikmah. Sejarah Islam tersebut bukan hanya untuk dikaji sahaja tetapi hendaklah difikirkan serta diaplikasi kepada kita semua.

Share The Post

Leave a Reply