ISLAM MENJAMIN HAK NON MUSLIM

29Oct

ISLAM MENJAMIN HAK NON MUSLIM

Islam sering digambarkan menindas bukan Islam. Masyarakat Islam diomokkan tidak toleran dan mementingkan diri sendiri.

Sebenarnya masyarakat Islam merupakan sebuah  komuniti yang berpegang teguh kepada aqidah dan ideologi. Dari aqidah dan idelogi tersebut maka  muncullah cabangannya seperti undang-undang, hukum-hakam, peradaban dan tatasusila. Namun, ini bukanlah bermakna bahawa orang Islam memutuskan seluruh kehidupannya dengan orang bukan Islam sama ada di peringkat individu, tempatan mahupun antarabangsa.

Umat Islam menjalinkan hubungan sesama Islam  begitu juga dengan bukan menganuti Islam. Dasar-dasar yang tetap telah digariskan yang merangkumi prinsip-prinsip toleransi, keadilan, kebajikan dan belas ihsan kepada golongan bukan Islam. Prinsip utama di dalam melayani orang bukan Islam ialah mereka hendaklah diberi layanan samarata dengan umat Islam melainkan atas beberapa aspek sahaja. Aspek-aspek pengecualian ini pula amat terhad dan hanya berkisar dalam perkara-perkara yang melibatkan peribadatan sahaja.

Orang bukan Islam berhak mendapat perlndungan dalam Negara Islam. Hak ini merangkumi perlindungan dari pencerobohan luar dan kezaliman dari dalam Negara.  Golongan bukan Islam berhak menikmati keamanan dan kestabilan hidup.  Hak ini adalah hak sama yang dikecapi oleh orang Islam. Pemerintah Islam bertanggungjawab untuk melindungi walaupun setitik  darah mereka.  Orang Islam di dalam Negara Islam juga adalah dilarang sama sekali menyakiti orang bukan Islam atau mencerobohi diri, keluarga harta atau agama mereka  sama ada melalui tangan(kekuasaan) ataupun lidah mereka. Apatah lagi umat Islam ditegah dari membunuh orang bukan Islam. Ini adalah disebabkan hak perlindungan yang tetap ini meliputi  darah, jiwa dan tubuh mereka, begitu juga harta benda dan kemuliaan mereka.

Islam menjamin  bukan Islam mengamalkan agama mereka. Bukan Islam bebas menganuti agama, kepercayaan dan beribadat mengikut agama mereka. Bukan Islam tidak boleh dipaksa menganut agama Islam dan tidak akan ditekan semata-mata agar mereka memeluk Islam. Sejarah  telah membuktikan bahawa Islam disebarkan bukan melalui mata pedang tetapi kerana keindahan dan keadilan Islam itu yang menambat hati orang bukan Islam memeluk Islam.

Sebahagian ulama mengatakan orang bukan Islam juga bebas menjawat jawatan di dalam kerajaan Islam selain dari jawatan yang melibatkan hal keagamaan seperti Ketua Negara, Ketua Angkatan Tentera, Ketua Hakim dan sebagainya yang mana jawatan tersebut akan melibatkan urusan agama. Dalam urusan lain tiada halangan bagi orang bukan Islam menyandang jawatan kerajaan tersebut.

Bagi jawatan Ketua Negara umpamanya, sebahagian ulama menjelaskan jawatan tersebut melibatkan pentadbiran sebuah Negara Islam yang merupakan Negara ideologi. Maka adalah wajar bagi  orang Islam sendiri mengendalikannya, begitu juga dalam hal jawatan Ketua Angkatan Tentera yang mana dalam Islam sebenarnya mempertahankan kedaulatan Negara adalah satu ibadat. Jihad adalah kemuncak seluruh ibadat di dalam Islam.

Oleh itu dalam hal ibadat seperti ini adalah tidak wajar ianya diserahkan kepada orang bukan Islam. Namun begitu orang bukan Islam tidak dilarang bersama-sama dengan orang Islam berjuang mempertahankan kedaulatan Negara. Orang bukan Islam tidak boleh dipaksa menjadi askar di dalam sebuah Negara Islam.

Dalam hal muamalah pula orang bukan Islam mempunyai hak yang tidak boleh disangkal untuk bekerja, berniaga dan mendapat untung. Ini boleh dilakukan dengan berkongsi sesama mereka ataupun dengan orang Islam ataupun bekerja secara sendirian. Keadaan mereka dari aspek ini langsung tidak berbeza dengan keadaan orang Islam yang diberi peluang untuk menjalankan aktiviti ekonomi dan perdagangan  bagi memajukan diri masing-masing.

Dalam Islam, umat Islam dan orang bukan Islam perlu bersaing demi untuk memajukan diri mereka sendiri. Orang bukan Islam tidak ditindas di dalam mencari kekayaan dan ini memeberi peluang kepada semua rakyat bersaing dalam keadaan yang memberi keadilan kepada semua pihak.

Syariat Islam telah memperuntukkan hak-hak  asasi yang jelas bagi orang bukan Islam dan kebebasan ini dijamin  oleh pemerintah Islam. Adalah menjadi kesalahan bagi umat Islam sekiranya mereka melanggar ataupun mengugut untuk melanggar hak asasi orang bukan Islam. Dari aspek ini sebenarnya, syariat Islam dilihat lebih melindungi hak-hak orang bukan Islam berbanding dengan mana-mana agama lain di dunia ini.

Masyarakat Islam secara kolektif bertanggungjawab menjalankan syariat Islam dan melaksanakan hukum-hukum yang termaktub di dalamnya termasuklah perkara-perkara berhubungan dengan hak orang bukan Islam. Sekiranya berlaku kecuaian atau penyelewengan dilakukan oleh orang Islam dan melampaui batas yang dibenarkan, maka umat Islam sendiri perlu  memperbetulkan keadaan dan mengembalikan hak tersebut kepada yang berhak berlandaskan jalan yang benar dengan menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah dari melakukan kemnungkaran.

Syariat Islam sebenarnya sentiasa memihak kepada orang yang dizalimi atau dicerobohi biarpun orang yang dizalimi atau dicerobohi itu adaaalah orang bukan Islam. Pembelaan akan diberikan kepada mereka tanpa mengambilkira faktor  keagamaan tersebut hatta pemerintah Islam yang zalim terhadap rakyat bukan Islampun boleh diambil tindakan kerana kezaliman yang dilakukan oleh mereka.

Hak orang bukan Islam ini sebenarnya wajib dipelihara oleh orang Islam kerana ianya adalah merupakan tuntutan yang wajib dipatuhi oleh setiap umat Islam.Membenarkan hak ini adalah suatu kewajipan dan menafikannya adalah suatu tegahan.

Lihatlah betapa banyaknya hak orang bukan Islam di dalam sebuah negara Islam. Apabila hak yang besar itu diberikan kepada mereka adalah jelas mereka juga bertanggungjawab kepada negara Islam dengan tidak memecahbelah dan meruntuhkan ideologi negara Islam. Umat Islam dan bukan Islam mesti bergandingan bahu memacu negara ke arah kegemilangan.

Share The Post

Leave a Reply