JAWAPAN BALAS KEPADA SURAT DITULIS OLEH 25 ORANG KENAMAAN

16Dec

JAWAPAN BALAS KEPADA SURAT DITULIS OLEH 25 ORANG KENAMAAN

Setelah meneliti surat hasil tulisan 25 orang kenamaan bertajuk “Keperluan kepada Proses Rundingan” dalam suratkhabar bahasa Inggeris bertarikh 8hb Disember 2014, KAMI, sebuah kumpulan organisasi prihatin, dan mewakili pihak ahli kami merasa terpanggil memberi jawapan balas kepada kenyataan membimbangkan terkandung dalam surat tersebut.

Perkara utama sekali, diperhatikan kumpulan penulis surat tersebut (Kumpulan Penulis) berpendirian bahawa kelangsungan pelaksanaan undang-undang Islam berkaitan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Negara ini bercanggah dengan konsep kesederhanaan di dokong kerajaan Malaysia.

Pada asasnya, Kumpulan Penulis tersebut memperjuang hujah, yang dokongan kepada kedudukan Islam di bawah Perlembagaan adalah sama dengan perbuatan ekstremis serta fahaman melampau.

Peliknya, Kumpulan Penulis tersebut tidak memperincikan apakah konsep kesederhanaan dipegang oleh kerajaan Malaysia dan bagaimanakah kedudukan Islam dalam perlembagaan serta pelaksanaan undang -undang Islam bercanggah dengan konsep kesederhanaan.

Justeru, wajib bagi kami menjelaskan makna kesederhanaan dalam konteks yang disebut serta membezakan di antara konsep sederhana dan melampau.

Konsep kesederhanaan dipegang oleh kerajaan Malaysia berdasarkan prinsip keadilan dalam Quran, kesederhanaan (wasatiyyah) dalam semua aspek kehidupan dan penolakan terhadap perbuatan melampau. Prinsip kesederhanaan ini dinyatakan di dalam penerbitan rasmi JAKIM tahun 2013 sempena sambutan Maulidur Rasul.

Adalah amat sukar memberi suatu definisi terhadap perkataan ‘melampau’ kerana ia bergantung kepada perspektif seseorang yang merumuskan definisi tersebut; sama ada dari pandangan sekular, liberal atau sudut agama. Setiap pandangan akan membawa kepada definisi berbeza. Cara lebih saksama untuk memberi definisi ‘melampau’ adalah dengan mentakrifkan ‘melampau’ sebagai lawan ‘kesederhanaan’. Prinsip kesederhanaan Islam meletakkan keadilan sebagai nilai utama. Justeru, mana- mana konsep, falsafah, idea atau tindakan bertentangan dengan keadilan adalah ‘melampau’. Garis pemisah antara ‘kesederhanaan’ dan ‘melampau’ adalah keadilan dan kesaksamaan

Kumpulan Penulis tersebut juga berpendapat pemakaian perundangan syariah melalui pengeluaran fatwa melanggar Perlembagaan serta bertentangan dengan konsep kesederhanaan. Pandangan tersebut adalah hasil salah-tafsir yang perundangan Islam tidak mampu membuah keadilan dan kesaksamaan, iaitu jelmaan utama konsep kesederhanaan. Lebih penting, ia menunjukkan pandangan Kumpulan Penulis tersebut sejajar pandangan sekular iaitu memberi keutamaan atau kepentingan lebih kepada hak individu berbanding hak dan kepentingan masyarakat. Kumpulan Penulis berpendapat bahawa fatwa hendaklah tertakluk kepada proses rundingan terbuka, yang mana setiap individu bebas berdebat mengenai perundangan syariah, tidak kira sama ada individu tersebut cetek ilmu atau sebaliknya, tentang perundangan syariah.

Kumpulan Penulis menyebut penghakiman Mahkamah Syariah mengenai isu transgender sebagai melampau, justeru bertentangan prinsip kesederhanaan. Pada hakikatnya, sudah banyak kupasan dan pandangan ulama dalam pengiktirafan hak transgender dalam Syariah. Apa yang berlaku ialah adalah kelemahan pentadbiran di mana Mahkamah Syariah tidak memberi panduan atau aliran proses yang perlu dipatuhi oleh pihak bertanggung- jawab berkenaan pembuktian dalam Mahkamah Syariah untuk menyokong tuntutan seseorang transgender yang mempunyai bukti kukuh berdasarkan laporan perubatan. Kelemahan pentadbiran dan kekhilafan manusia dalam pelaksanaan prinsip Syariah ditonjolkan oleh Kumpulan Penulis tersebut sebagai kegagalan agama Islam untuk mengiktiraf hak transgender.

Serangan Kumpulan Penulis ke atas Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Hal Ehwal Agama Islam dalam isu transgender membingungkan. Sama ada seseorang itu bersetuju atau tidak dengan pendirian beliau, ada lah persoalan tidak berkait secara langsung. Sebagai menteri ditugaskan menjaga hal ehwal agama Islam, sudah tentu menjadi kewajipan beliau untuk membuat pendirian tegas mengenai isu di bawah tanggungjawab kementeriannya.

Kumpulan Penulis tersebut juga berpendapat bahawa pelaksanaan undang- undang Syariah ke atas orang Islam, sentiasa berada dalam konflik dengan Perlembagaan . Terdapat banyak kes-kes membuktikan perkara sebaliknya berlaku. Perundangan Syariah tidak bercanggah dengan Perlembagaan kerana kedua duanya mempunyai objektif sama; iaitu untuk menegakkan keadilan dan kesaksamaan. Dalam kes Titular, Mahkamah menjelaskan; “…Artikel 3 Perlembagaan menyatakan Islam adalah agama Persekutuan bermaksud “…obligasi Persekutuan melindungi, mempertahan, membugarkan Islam dan memberi kesan…kepada perintah Islam…menggalakkan orang ramai menjalani kehidupan mengikut landasan kerohanian Islam dalam kehidupan seharian”. Perkara asas adalah mendidik individu agar mereka faham orang Islam adalah sebahagian dari masyarakat besar (ummah) di mana mereka meletakkan kepentingan dan keharmonian masyarakat mendahului kepentingan persendirian. Ini adalah inti pati konsep kesederhanaan; menegakkan dan melaksanakan keadilan dan kesaksamaan dalam kerangka Perlembagaan untuk kepentingan bersama masyarakat berdasarkan prinsip Syariah dan bukannya kepentingan individu semata mata.

Kumpulan Penulis tersebut menegaskan bahawa kewujudan perundangan Syariah dalam kerangka Perlembagaan adalah perundangan yang plural (lebih dari satu undang undang) justeru, sebagai perkara negatif. Kumpulan Penulis tersebut membayangkan di dalam Perlembagaan hanya boleh wujud satu bentuk undang- undang; yang mana prinsip Syariah sepatutnya tidak wujud sebagai suatu bahagian perundangan

Realitinya Perlembagaan adalah bersifat plural dari awal rangkaan. Asal usul Perlembagaan adalah dari ‘canon law’, bermaksud undang- undang terbit dari undang -undang agama Kristian Romawi. Lama-kelamaan, Perlembagaan berkembang dengan kaedah menerima pakai dan melaksanakan undang- undang Syariah menerusi penghakiman ,berdasarkan hakikat yang undang- undang Syariah adalah sebahagian dari kebudayaan dan cara hidup orang Islam di negara ini. Ianya adalah perkembangan semula jadi untuk membina undang- undang ‘common’ Malaysia. Undang- undang dipanggil ‘common’ untuk semua rakyat jika mengambil kira cara hidup, adat resam, kebudayaan dan pelbagai kepercayaan agama pelbagai masyarakat.

Secara prinsipnya, kami tidak membantah gesaan Kumpulan Penulis untuk mengadakan suatu dialog berkenaan pelaksanaan undang -undang Syariah; namun ianya mesti tertakluk kepada persetujuan yang kesemua pihak mempunyai persefahaman serta mengiktiraf dan menghormati kedudukan Islam dalam Perlembagaan.

Akhir kata, kami menulis surat ini sebagai jawapan balas terhadap surat Kumpulan Penulis kerana adalah fitrah (sifat semula jadi manusia) suatu masyarakat, apabila berdepan dengan keadaan yang mana agama Islam diungkap dengan penuh penghinaan, perlunya bagi masyarakat tersebut membuat pendirian tegas dalam perkara melibatkan kehormatan dan harga diri mereka. Masyarakat yang tidak berupaya mempertahankan agamanya dan kaedah mengamalnya adalah suatu komuniti yang tidak bermaruah, dayus serta tidak merasa bangga dengan identiti sendiri.

Tarikh: 13th December 2014.

Dato Haji Zainul Rijal Abu Bakar, President
Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Tuan Musa Awang, President
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Azril Mohd Amin, Chief Executive
Centre For Human Rights Research & Advocacy (CENTHRA)

Share The Post

Leave a Reply