Kerajaan Usah Tunduk Tuntutan COMANGO

12Oct

Kerajaan Usah Tunduk Tuntutan COMANGO

Pada 24 Oktober 2013 ini Malaysia akan menghadapai sesi Semakan Berkala Sejagat (Universal Periodic Review) (UPR) di Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva Switzerland. Dalam sesi tersebut Malaysia akan dinilai berkaitan dengan pencapaian hak asasi manusianya. Pelbagai laporan telah disediakan oleh pelbagai pihak termasuklah COMANGO (Coalition of Malaysian NGO) yang mendesak Kerajaan tunduk kepada beberapa tuntutan mereka. Dilaporkan tuntutan COMANGO antara lain adalah seperti berikut:

Malaysia dituntut untuk menandatangani dan memeterai International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR). PPMM maklum Perkara 18 ICCPR adalah berkait dengan kebebasan beragama. Implikasi penerimaan ICCPR ini bakal mengizinkan pemurtadan berlaku secara berleluasa.

b) Malaysia menandatangani dan memeterai International Covenant on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) yang membawa implikasi “menyediakan rangka kerja undang-undang untuk mengadaptasi obligasi antarabangsa ke dalam undang-undang domestik” tanpa mengambil kira nilai budaya dan resam tempatan.
c) Malaysia dituntut patuh terhadap ICERD yang akan menyebabkan Malaysia mengikut telunjuk dan acuan sekular Barat serta memaksa nilai universal yang bertentangan dengan nilai dan norma tempatan terhakis dan kedaulatan negara akan terjejas. Hal ini mengenepikan tindakan-tindakan domestik yang pada hakikatnya merupakan ‘diskriminasi positif’ mengambil kira realiti dan sejarah serta aspek keagamaan dan sosio-budaya tempatan.
d) Malaysia ditekan untuk mengiktiraf hak-hak berlandaskan SOGI – Sexual Orientation & Gender Identity iaitu hak-hak LGBTIQ (Lesbian, Bisexual, Gays, Transgender, inter-sexed & queer-persons). Malah terdapat juga tekanan-tekanan untuk antara lain menghapuskan seksyen 377A Kanun Kesiksaan berhubung jenayah liwat atas dasar hak asasi manusia.
e) Malaysia juga dipaksa tunduk pada kandungan di dalam Prinsip-prinsip Yogjakarta 2006 yang memberikan kebebasan mutlak kepada mereka yang mempraktikkan amalan seks songsang. Sekiranya hak-hak LGBT ini diizinkan, maka langkah pertama yang mesti dilakukan Kerajaan Malaysia ialah menghapuskan undang-undang berhubung kesalahan jenayah liwat membenarkan perkahwinan sejenis dan banyak lagi.
f) Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak-hak istimewa kaum Melayu didakwa bersifat perkauman dan diistilahkan sebagai ‘alat politik’ dimansuhkan. Ini bersalahan dengan kontrak sosial dan juga ciri-ciri utama yang membentuk Perlembagaan Persekutuan.
g) Mempersoalkan Enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah, dan khususnya mendesak pemansuhan atau pindaan terhadap kesalahan-kesalahan jenayah syariah dan enakmen-enakmen atas alasan “mengganggu hak peribadi.” COMANGO juga mewujudkan kekeliruan-kekeliruan terhadap isu kebebasan beragama di Malaysia. Di antaranya termasuk kes tuntutan penyalahgunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian yang hanya akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Malaysia pada 14 Oktober ini. Laporan tersebut juga mempersoalkan larangan terhadap penganut ajaran syiah menyebarkan fahaman mereka dalam kalangan orang Islam. Selain itu, hak seorang bapa beragama Islam untuk mengislamkan anak-anak di bawah umur juga dijadikan isu hak asasi manusia.
PPMM menegaskan tuntutan-tuntutan sebegini bukan sahaja berlawanan dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan kedaulatan negara, tetapi juga dibuat melalui platform yang tidak sah seperti COMANGO.
PPMM mendesak Kerajaan Malaysia tidak melayan atau akur kepada tuntutan COMANGO tersebut yang tidak mengambil kira susur galur adat, budaya dan agama masyarakat di Malaysia. Tiada agama di dunia ini yang memperakui perbuatan zina dan homoseksual.
PPMM seterusnya menegaskan tuntutan untuk menerapkan nilai-nilai universal di bumi Malaysia bertentangan dengan pernyataan Perkara 8 Deklarasi Bangkok 1993 yang mengiktiraf hak asasi manusia adalah bersifat universal dan mesti diambilkira untuk membuat piawaian norma masyarakat dengan memberi penekanan kepada ciri ciri tempatan dan setempat berdasarkan latarbelakang sejarah, budaya dan agama.
PPMM bersedia membantu Kerajaan dalam apa jua bidang berkaitan dan kepakaran di dalam merumuskan samada untuk menerima atau menolak tuntutan-tuntutan COMANGO.
PPMM juga mempersoalkan tindakan Majlis Peguam Malaysia yang turut menyokong tuntutan COMANGO ini dan meminggirkan pandangan peguam-peguam beragama Islam berkaitan hal ini. PPMM mempertikaikan samada Majlis Peguam Malaysia mempunyai mandat khusus daripada peguam-peguam beragama Islam dalam pandangan dan tindakan yang jelas bertentangan dengan agama Islam.
Malah SUHAKAM juga dilihat telah tidak berperanan selari dengan fungsi dan kuasa SUHAKAM sebagaimana yang termaktub di dalam seksyen 4 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 di dalam mempromosi dan mengambil tindakan hak asasi manusia yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Seksyen 4(4) Akta tersebut jelas memperuntukkan SUHAKAM mesti memberi perhatian kepada Perisytiharan Hak Asasi Manusia 1948 setakat yang perisytharan itu tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Tuntutan yang dibuat oleh COMANGO tersebut sebenarnya tidak mengambil kira Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam bukan sekadar agama rasmi tetapi merupakan agama bagi Persekutuan. Cabaran yang dihadapi oleh umat Islam yang diterajui atas nama hak asasi manusia kebanyakannya berlatarbelakangkan fahaman-fahaman yang tidak selari dengan fitrah aga seperti sekularisme, liberalisme, pluralisme serta universalisme.
Adalah amat penting bagi Kerajaan tidak tunduk kepada tekanan ini dan mempertahankan Islam sebagai agama bagi Persekutuan sejajar dengan sumpah Yang Di Pertuan Agong di dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan untuk memelihara Islam pada setiap masa. Dengan izin Allah SWT, PPMM akan menghantar beberapa orang peguam ke Geneva dalam masa terdekat ini bagi memantau, meneliti, mengkaji dan memberi pandangan kepada pihak Kerajaan semasa UPR nanti bagi menangkis segala usaha menjejaskan kedaulatan Islam dan negara.
Bertarikh pada 12 Oktober 2013
Dato Haji Zainul Rijal Abu Bakar, DPMP, AMN
Presiden PPMM
Share The Post

Leave a Reply