Laksanakan tuntutan NGO Islam

26Oct

Laksanakan tuntutan NGO Islam

DALAM heboh diperkatakan pilihan raya umum (PRU) akan diadakan tidak lama lagi, pelbagai janji sudah mula ditabur pelbagai pihak bagi memancing undi.

Rencana hari ini bukan bertujuan untuk memancing undi tetapi ingin mengingatkan semua parti politik bertanding akan tanggungjawab masing-masing.

Sebagai salah seorang pemimpin NGO bersifat non-partisan, saya melihat pilihan raya sebagai wadah perubahan masyarakat. Adalah menjadi tanggungjawab semua wakil rakyat dipilih untuk mendaulatkan Islam sesuai dengan kedudukannya sebagai agama Persekutuan.

Gagasan NGO Islam pernah mengemukakan memorandum kepada semua parti politik sebelum PRU12 dahulu. Antara tuntutan dibuat adalah menolak agenda Suruhanjaya Antara Agama yang mempromosi kebebasan berlandaskan faham sekular liberal.

Sebarang tindakan mempersendakan Islam secara lisan, tulisan ataupun media siber dan elektronik perlu ditangani dengan serius mengikut peruntukan di bawah Kanun Keseksaan termasuklah daripada kalangan ahli politik.

Bidang kuasa jenayah mahkamah syariah diperluaskan menerusi pindaan Akta Bidang Kuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 serta Enakmen Pentadbiran negeri mestilah direalisasikan. Dalam masa yang sama mahkamah sivil dan mahkamah syariah disamatarafkan dari aspek perjawatan, penggajian, status serta prasarana.

NGO Islam pernah menuntut supaya digubal dan diwartakan dengan segera undang-undang mengawal penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan umat Islam di seluruh negara selaras Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Sehingga hari ini Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak masih belum menggubal undang-undang. Kerajaan dituntut mengambil tindakan tegas termasuk ke tahap membatalkan mana-mana lesen perniagaan majikan yang menyukarkan apatah lagi menghalang pekerja Islam mengamalkan ajaran Islam seperti menghalang pemakaian tudung, solat Jumaat, berpuasa, cuti mengerjakan haji dan lain-lain syiar Islam.

Malaysia hendaklah menjadi pusat kecemerlangan pendidikan dan perkembangan keilmuan Islam. Bantuan perkapita kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) hendaklah dikembalikan dan buku teks percuma juga dinikmati pelajar SAR.

Kerajaan dipilih juga didesak menghentikan amalan diskriminasi Kementerian Pelajaran di mana menafikan peluang murid cemerlang UPSR dan PMR dari sekolah agama swasta memasuki sekolah berasrama penuh di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta memberi peluang pelajar cemerlang daripada kalangan keluarga miskin memasuki sekolah berasrama penuh.

Kemudahan biasiswa dinikmati pelajar Melayu juga perlu diberikan kepada pelajar Islam bukan berketurunan Melayu.

Di samping itu, kerajaan digesa menambah jumlah penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) daripada kalangan pelajar Melayu/Islam yang cemerlang. Amalan pemberian biasiswa JPA kepada pelajar bukan Islam sejak akhir-akhir ini tidak sepatutnya menjejaskan peluang pelajar Islam/Melayu yang cemerlang untuk mendapat tajaan.

Amalan bacaan al-Quran, doa dan sambutan perayaan kebesaran Islam perlu diteruskan kerana ia sama sekali tidak menghakis keharmonian kaum dan agama, malah mendidik anak bangsa menjadi insan bersahsiah mulia.

Kementerian Penerangan pula hendaklah memahami aspirasi dan sensitiviti umat Islam dalam merangka dasar penyiaran dan melaksanakan program membina masyarakat berakhlak terpuji.

Program berunsur pendidikan Islam dan moral perlu diperbanyakkan dan disiarkan pada waktu puncak dan azan sepenuhnya hendaklah disiarkan setiap waktu.

Program hiburan mempromosi budaya hedonisme Barat hendaklah dihentikan termasuk program hiburan realiti. Kesejahteraan rakyat akan terbela dengan mewujudkan sistem politik adil, tadbir urus baik dan sistem penyampaian cekap.

Kerajaan dipilih hendaklah bebas daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa. Usaha ekstremis agama dan perkauman sempit hendaklah ditolak.

Bilangan pegawai penguat kuasa agama (PKA) dan profesionalisme mereka dalam membanteras gejala maksiat dan salah laku moral perlu dipertingkatkan.

Kerajaan  dituntut melaksanakan undang-undang anti maksiat yang sedia ada dengan tegas, telus dan berkesan.

Demikianlah antara tuntutan NGO Islam dalam PRU12 lepas. Saya tidak berhasrat untuk mengupas satu persatu sejauh manakah tuntutan NGO Islam arus perdana ini telah dipenuhi. Terpulanglah kepada pembaca sendiri meneliti dan menginsafi setakat mana tuntutan NGO Islam ini telah diambil tindakan.

Walaupun beberapa tokoh politik telah menyatakan mereka akan memastikan tuntutan ini dipenuhi namun realitinya memorandum yang dihantar oleh NGO Islam arus perdana ini dipinggirkan pelbagai pihak.

Share The Post

Leave a Reply