Mahkamah Persekutuan benar JPN rayu kes anak ‘bin Abdullah’

08Sep

Mahkamah Persekutuan benar JPN rayu kes anak ‘bin Abdullah’

Mahkamah Persekutuan akan mendengar dan membuat keputusan sama ada untuk membenarkan kanak-kanak Islam tidak sah taraf dibinkan dengan nama bapanya dan bukan ‘Abdullah’.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif yang mengetuai tiga anggota panel hakim membenarkan permohonan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ketua pengarah JPN dan kerajaan Malaysia untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan seorang kanak-kanak Islam yang tidak sah taraf dibinkan dengan nama bapanya.

“Biarlah mahkamah tertinggi membuat keputusan tentang isu ini. Selepas ini semua orang perlu mematuhinya.

“Kami membenarkan rayuan ini atas tiga persoalan (undang-undang),” kata Raus yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Aziah Ali di sini hari ini.

Beliau memerintahkan perkara itu dirujuk bagi pengurusan kes pada pendaftar mahkamah untuk menetapkan tarikh bagi mendengar rayuan itu secepat mungkin.

Raus membenarikan tiga daripada empat  persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh perayu JPN, ketua pengarahnya dan kerajaan Malaysia.

* Sama ada semasa mendaftarkan kelahiran anak Islam, Pendaftar Kelahiran dan Kematian boleh merujuk dan bergantung kepada sumber Undang-undang Islam mengenai taraf sah anak

* Sama ada Mahkamah Sivil boleh menentukan persoalan atau perkara taraf sah kanak-kanak Islam  dengan nama dan asal bapanya

* Sama ada seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) terpakai kepada pendaftaran kelahiran kanak-kanak Islam yang membolehkan kanak-kanak itu berbin atau berbintikan nama bapanya.

Dalam kes sivil, sesuatu pihak itu perlu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan sebelum ia boleh meneruskan dengan rayuan.

Pada 25 Mei tahun ini Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan yang dikemukakan satu pasangan dan anak lelaki mereka yang memfailkan semakan kehakiman untuk memaksa ketua pengarah JPN menggantikan nama ‘Abdullah’ yang dibinkan kepada kanak-kanak itu dengan nama bapanya sendiri dalam sijil kelahiran.

Mahkamah Rayuan dalam penghakiman bertulisnya pada 25 Julai tahun ini, berkata ketua pengarah JPN tidak terikat dengan fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam menentukan nama bapa seseorang kanak-kanak Islam yang tidak sah taraf.

Dalam penghakiman itu, mahkamah berkenaan berkata ketua pengarah JPN adalah bersifat sivil dan hanya terhad dalam menentukan sama ada ibu bapa kanak-kanak itu telah memenuhi syarat yang terkandung dalam BDRA 1957 yang meliputi semua kanak-kanak tidak sah taraf melibatkan orang Islam dan bukan Islam.

Mahkamah itu memutuskan bahawa fatwa bukan perkara yang wajib diterima oleh undang-undang dan tidak boleh dijadikan asas undang-undang oleh ketua pengarah JPN dalam menentukan nama bapa seseorang anak yang tidak sah taraf mengikut Seksyen 12 A (2) BDRA.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang mewakili pemohon, berhujah bahawa tiga persoalan itu memerlukan penghujahan lanjut kerana ia merupakan kes pertama seumpamanya yang dihadapkan di Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata pemohon harus diberikan kebenaran untuk merayu kerana mereka telah memenuhi keperluan di bawah Sekyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Peguam K. Shanmuga yang mewakili kanak-kanak dan ibu bapanya membantah rayuan itu dibenarkan kerana perkara itu telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Peguam Datuk Sulaiman Abdullah mewakili Majlis Agama Islam Johor yang dibenarkan mencelah dalam perkara itu sementara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Selangor dibenarkan sebagai  pemerhati.

Read more at http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/mahkamah-persekutuan-benar-jpn-rayu-kes-anak-bin-abdullah#WK0uMZPDV1TGTSG2.99

Share The Post

Leave a Reply