Mencanai siasah berpaksi agama

16Dec

Mencanai siasah berpaksi agama

SEMBANG-sembang politik kembali rancak di persada media negara. Seolah-olah semua isu di negara ini perlu dinilai dari kaca mata politik. Apa pun yang dilakukan lensa politik tetap menjadi landskap perbualan orang awam.

Perbahasan-perbahasan yang berlaku, saya perhatikan, tidak hanya berkisar terhadap parti lawan. Ia juga telah merebak ke ‘intra parti’. Ahli-ahli sesebuah parti berantakan sesama sendiri mungkin bagi mendapatkan populariti dalam kalangan ahli akar umbi.

Budaya sebegini sudah semakin menular dalam kalangan pemimpin parti siasah tanpa mengira daripada pihak kerajaan ataupun pembangkang.

Yang lebih parah ialah perselisihan ahli sesebuah parti dengan parti lamanya telah menginjak fokus politik kepada politik cercaan sama ada dari bekas ahli terhadap parti lamanya atau sebaliknya.

Walaupun hakikatnya kita perlu menterjemah perpaduan umat Melayu/ Islam menjadi realiti, mengajak membuat anjakan paradigma demi kepentingan agama bangsa dan negara, namun sebenarnya masih terlalu jauh untuk umat Islam mencapainya.

Seolah-olah kita perlu merayu agar parti-parti yang bertikaian mengadakan persefahaman antara satu sama lain berasaskan kepada agama.

Nampak gayanya usaha ini perlu diperlahankan sementara kerana masalah ‘intra parti’ dalam kalangan semua parti politik masih belum dapat diminimumkan.

Sudah semestinya seseorang itu melihat sesuatu dari luar kotak bagi mencari jawapan yang sesuai menyelesaikan kemelut ummah, tidak hanya tertumpu kepada kepentingan diri ataupun keegoan dan ketaksuban seseorang.

Persoalan yang perlu diselesaikan secara tuntas ialah ke mana hala tuju negara dengan keadaan berkecamuk seperti sekarang ini. Adakah situasi sebegini lebih baik untuk agama bangsa dan negara?

Ulama-ulama dahulu berselisih pandangan dalam banyak hal cabangan (furu’), tetapi mereka masih boleh menerima pandangan ulama lain walaupun ia bertentangan dengan pendapat mereka sendiri.

Mereka berlapang dada dan menerima perbezaan ijtihad sebagai rahmat kepada umat manusia.

Sebagai orang yang mahir dalam bidang siasah, sudah pasti Perlembagaan Persekutuan dijunjung sebagai undang-undang tertinggi di negara.

Walaupun undang-undang Islam tidak dinyatakan secara langsung sebagai undang-undang tertinggi dalam Perlembagaan Persekutuan, namun sebenarnya memang ada ruang dan peluang Islam dimartabatkan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Sebagaimana yang sering diperkatakan, terdapat tujuh ciri asas yang menjadi tulang belakang perlembagaan itu sendiri dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu:

  1.  Islam sebagai agama bagi Persekutuan.
  2.  Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan
  3.  Perlembagaan sebagai undang-undang utama Persekutuan
  4.  Pengasingan kuasa eksekutif, parlimen    dan kehakiman
  5.  Raja berperlembagaan
  6.  Demokrasi berparlimen
  7.  Badan kehakiman yang terpisah dari penguasaan parlimen dan eksekutif.

Kesemua ciri ini hendaklah dipertahankan oleh semua rakyat termasuklah Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Ciri ini memberi keistimewaan kepada Islam dalam hal ehwal berkaitan hak kebebasan menganut, mengamal dan menyebarkan agama Islam, menggunakan dana awam bagi tujuan Islam, kedudukan terpelihara mahkamah syariah, pengecualian penolakan undang-undang Islam ketika darurat serta penetapan hal ehwal Islam terletak dalam bidang kuasa negeri, hak mengislamkan anak di bawah umur dan banyak lagi.

Namun yang menjadi sukarnya ketika ini ialah terlalu ramai orang termasuk peguam hanya memperkatakan tentang hak mereka sahaja. Pelbagai pihak menuntut hak mereka sahaja tanpa menghiraukan tanggungjawab yang sepatutnya mereka galas bersama.

Sesuatu hak itu seharusnya datang dengan tanggungjawab juga. Begitu juga dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak kepada rakyat, ia juga meletakkan tanggungjawab di bahu rakyat. Obligasi berperlembagaan ini mesti dihayati dan dilaksanakan oleh segenap lapisan masyarakat.

Umpamanya Yang di-Pertuan Agong mempunyai obligasi berperlembagaan memelihara Islam pada setiap masa sesuai dengan sumpah baginda semasa menaiki takhta seperti yang termaktub dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.

Pihak kerajaan yang menjalankan urusan pemerintahan baginda Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai tanggungjawab berperlembagaan dalam tindakan mereka sejajar dengan sumpah tersebut. Malah rakyat juga mestilah membantu kerajaan merealisasikan aspirasi ini menurut perlembagaan juga.

Dalam konteks ini, apa pun tindakan perlulah berasaskan kepada agama Islam bagi menjamin keluhuran perlembagaan itu sendiri. Dalam hal yang demikian ahli-ahli politik tidak kira parti mana pun mempunyai peranan yang penting bagi memartabatkan Islam di Malaysia.

Menegakkan sebuah negara Islam perlulah bermula dari diri sendiri terlebih dahulu. Disebarkan dalam keluarga, jemaah dan kemudian negara. Islam hendaklah diambil secara keseluruhan bukan dalam bidang-bidang yang kita suka sahaja.

Dipetik daripada http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/zainul-rijal-abu-bakar/mencanai-siasah-berpaksi-agama-1.599140

Share The Post

Leave a Reply