Mengakhiri penindasan di Arakan

09Dec

Mengakhiri penindasan di Arakan

BEBERAPA minggu ini umat Islam seantero dunia bermuram dan dukacita atas pembantaian dan kezaliman yang dilakukan terhadap umat Islam Rohingya di Wilayah Arakan Myanmar. Arakan mungkin menjadi ‘penjara’ terbesar di dunia melebihi saiz Gaza di Palestin.

Dunia menyaksikan umat Islam Rohingya diseksa, dibunuh, rumah mereka dimusnahkan dan dibakar menyebabkan mereka terpaksa melarikan diri bagi menyelamatkan diri dan keluarga. Namun apakah dunia hanya dapat melihat sahaja genosid yang dilakukan secara terancang ini tanpa apa-apa tindakan diambil.

Apakah tindakan diambil oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di mana pula Organisation of Islamic Countries (OIC)? Apa pula reaksi Asean terhadap rakan negara mereka di dalam Asean sendiri?

Amat malang bagi masyarakat Rohingya kerana dunia masih membisu tanpa tindakan yang kukuh. Lebih malang lagi dikatakan tentera kerajaan juga berpartisipasi dalam serangan dan penzaliman yang dilakukan ke atas umat Islam Rohingya walaupun pemimpin negara tersebut pernah menerima anugerah keamanan Nobel ketika memperjuangkan demokrasi di negara tersebut.

Para sami Buddha juga dikatakan turut sama menyerang umat Islam Rohingya atas nama agama. Terserlah bahawa agama sering kali disalahgunakan untuk agenda tertentu, tidak kiralah Islam atau Buddha ataupun agama-agama lain. Semasa di universiti dahulu saya berkesempatan mempelajari pelbagai agama di dunia ini sebagai salah satu keperluan untuk dianugerahkan ijazah kepada saya.

Saya mengkaji dan membuat kajian pelbagai agama dan mendapati bahawa keganasan langsung tidak mendapat tempat di dalam mana-mana agama. Oleh itu saya agak musykil kenapa sami Buddha turut melaksanakan kezaliman ke atas orang Islam di sana. Taakulan yang saya peroleh ialah memang di mana-mana sahaja terdapat ramai orang yang menyalahgunakan agama untuk kepentingan diri termasuklah agama Buddha dan Islam.

Penyalahgunaan agama ini bukan hanya berlaku dalam agama Islam, tetapi merentasi setiap agama.

Dari satu aspek saya bersyukur umat Islam/Melayu di Malaysia yang telah sekian lama dipisahkan oleh fahaman politik boleh duduk bersama bersolidariti menzahirkan sokongan kepada saudara Muslim di Myanmar. Jika sebelum ini setiap tindakan diukur dari parameter politik kepartian namun kini terdapat anjakan paradigma melihat sesuatu perkara sebagai isu yang berasingan dan membuat pendekatan yang tidak sama di dalam semua perkara.

Namun tindakan yang lebih tuntas perlu dilakukan oleh semua pihak termasuk kerajaan dalam isu Rohingya ini. Sekadar menzahirkan ketidakpuasan hati sudah lama kita manifestasikan. Jangan tunggu sehingga sejarah hitam Palestin, Bosnia, Syria dan banyak lagi negara umat Islam berulang di bumi Arakan.

Sudah sampai masanya tindakan bersepadu diambil oleh pelbagai negara sama ada di peringkat serantau ataupun antarabangsa bagi menangani permasalahan yang semakin membarah ini.

Atas nama kemanusiaan, bertindaklah melakukan sesuatu demi menghindarkan kezaliman kepada masyarakat Rohingya. Kesengsaraan Rohingya menyentuh hati masyarakat Islam Malaysia, denyut nadi penderitaan mereka turut dirasai kita di Malaysia. Jadikanlah Malaysia sebagai suri teladan negara Islam yang mendepani masalah umat Islam dengan berkesan. Jangan hanya berjerayawara ke sana sini tanpa apa-apa tindakan dilakukan.

Bagi masyarakat Islam di Malaysia ataupun di negara Islam yang lain boleh mengambil panduan sebagaimana yang berlaku setelah hijrah nabi. Konsep Ansar dan Muhajirin dari kalangan penduduk Madinah dan Mekah boleh dilaksanakan di Malaysia. Umat Islam di Malaysia boleh bertindak sebagai Ansar manakala kaum Rohingya sebagai Muhajirin.

Konsep yang dinamik dianjur Rasulullah SAW ini boleh diaplikasi di Malaysia dengan ubahsuaian tertentu agar ia dapat dilaksanakan tanpa bercanggah dengan undang-undang yang berkuatkuasa. Apa yang penting ialah tatkala kaum Rohingya memerlukan bantuan, mereka perlu tahu terdapat umat Islam di Malaysia yang prihatin akan saudara seagamanya.

Namun perlu juga diadakan undang-undang atau peraturan tertentu bagi mengekang penyalahgunaan atau kalangan yang mengambil kesempatan atas kelemahan mereka.

Setiap manusia perlu dilayan seperti manusia tanpa mengira agama, bangsa atau ras. Sebagai umat Islam kita perlu bergerak membela sesiapa sahaja yang dizalimi apatah lagi saudara seagama. Tiada alasan bagi kita tidak menghiraukan kezaliman berlaku di hadapan kita.

Dipetik daripada http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/zainul-rijal-abu-bakar/mengakhiri-penindasan-di-arakan-1.596487

Share The Post

Leave a Reply