Mengarusperdana syariah 2017

30Dec

Mengarusperdana syariah 2017

PADA hari-hari penghujung tahun 2016 ini, kita akan meninggalkan segala sejarah tercatat di tahun ini dan akan beranjak memasuki tahun baharu 2017 Masihi. Rasanya masa berlalu sangat pantas, sama ada kita berjaya mengisinya dengan baik ataupun tidak, ia tetap meninggalkan kita.

Terdapat banyak perkara yang berlaku sepanjang tahun 2016 yang memberi kesan kepada masyarakat. Dari aspek perundangan, seperti  tahun–tahun sebelumnya, 2016 menyaksikan beberapa perkara melibatkan perbincangan hebat kedudukan bidang kuasa mahkamah sivil dan juga mahkamah syariah.

Peruntukan Perlembagaan Persekutuan terutama melibatkan perkara 121 (1A) masih hangat dibahaskan. Ia disulami dengan Perbahasan Rang Undang-Undang Persendirian Akta 355 dibentang Tuan Guru Abdul Hadi Awang bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah.

Beberapa kes yang berlaku menyentuh isu ini sehingga membawa kepada perbincangan sama ada Malaysia adalah negara Islam atau tidak. Semua ini turut mewarnai tahun 2016. Lanskap politik yang berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya turut mewarnai dan memberi kesan kepada perundangan negara. Kemunculan beberapa parti politik baharu dan kemelut politik yang masih belum usai masih menyebabkan rakyat meneliti setiap isu dari lensa politik.

Sebagaimana sebelum ini peruntukan undang-undang yang memberi kelebihan kepada agama Islam dan orang Melayu masih dipersoalkan walaupun ia telah termaktub dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Isu melibatkan Seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 masih menjadi tajuk penting dalam perbahasan semasa. Peruntukan tersebut memperuntukkan bahawa di mana satu pihak kepada sesuatu perkahwinan itu telah memeluk Islam, pihak yang satu lagi yang tidak memeluk Islam itu boleh memfailkan petisyen untuk perceraian dengan syarat bahawa petisyen tersebut tidak boleh difailkan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh pihak itu memeluk Islam.

Apabila membubarkan perkahwinan tersebut mahkamah boleh membuat perintah kepada isteri atau suami tersebut untuk kepentingan anak-anak kepada perkahwinan itu, jika ada, ataupun meletakkan syarat-syarat apabila membubarkan perkahwinan itu. Mahkamah yang dimaksudkan di sini adalah mahkamah sivil. Seksyen 51 ini hanya memberi hak kepada pihak yang tidak memeluk Islam itu memfailkan petisyen pembubaran perkahwinannya di mahkamah. Manakala pihak yang memeluk Islam tidak langsung mempunyai hak untuk membubarkan perkahwinan tersebut.

Kita sangat berharap pindaan terhadap seksyen tersebut dibuat dengan kadar segera demi keadilan kedua-dua pihak sama ada yang Islam atau yang tidak Islam kerana Seksyen 51 ini seolah-olah menganggap memeluk Islam itu adalah suatu kesalahan dan kerana itu orang yang masuk Islam perlu dihukum dan hak mereka untuk mendapatkan perceraian ditarik daripada mereka.

Namun apa yang mengejutkan pihak kerajaan dilaporkan mahu mengekalkan agama anak jika salah seorang pasangan memeluk Islam tanpa persetujuan kedua belah pihak. Ia jelas bertentangan dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan dan kes-kes yang diputuskan sebelum ini.

Persoalan murtad pula telah dituntaskan berkaitan bidang kuasa mahkamah syariah. Namun masih lagi terdapat segelintir yang masih enggan menerima hakikat kewujudan mahkamah syariah dan bidang kuasanya. Malah sesetengah golongan cuba mengaburi bidang kuasa mahkamah syariah ini dengan mencampurkan bidang-bidang lain yang bukan terletak di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.

Pernikahan bawah umur juga dijadikan polemik pada tahun ini walaupun Islam membenarkan seorang yang telah mencapai umur baligh bernikah. Perspektif dari lensa dan norma hidup barat yang mengehadkan pernikahan setelah mencapai umur 18 tahun dipegang erat oleh sesetengah golongan walaupun agama membenarkannya.

Ketuanan Melayu, hak istimewa orang Melayu dan peribumi Sabah dan Sarawak juga tidak lepas dari menjadi perbahasan utama sesetengah pihak. Begitu juga kedudukan Raja-Raja Melayu juga adakalanya dicabar oleh pihak pihak tertentu.

Institusi agama Islam seperti Jakim, mahkamah syariah, jabatan agama Islam, majlis agama Islam, mufti dan banyak lagi masih menjadi target cemuhan dan kritikan ramai walaupun sering kali apa yang ditimbulkan ada tersasar dari kebenaran. Kita akur memang terdapat kelemahan dalam institusi-institusi ini yang sebahagian besarnya disebabkan kekangan sumber manusia, peruntukan dan bantuan. Seharusnya strategi yang digarap ialah membantu institusi ini berfungsi sepenuhnya bukan memansuhkannya.

Kita wajar menoleh ke belakang melihat kesilapan yang telah berlaku dan mencari jalan serta membuat perancangan demi kebaikan tahun akan datang. Berpindah ke tahun baharu sebenarnya membawa tanggungjawab yang lebih besar.

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada semua pembaca Sinar Harian, khususnya ruangan Usul ini. Semoga nukilan ruangan ini dapat dimanfaat bersama.

*Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.

Dipetik daripada http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/zainul-rijal-abu-bakar/mengarusperdana-syariah-2017-1.604395

Share The Post

Leave a Reply