Peguam Muslim Menulis: Syariah sebagai teras kehidupan, bukan sistem alternatif

25Jun

Peguam Muslim Menulis: Syariah sebagai teras kehidupan, bukan sistem alternatif

Ramai cerdik pandai masa kini mula mempersoal sama ada syariah sesuai digunakan pada zaman moden ini. Pelbagai hujah dikemukakan bagi menyokong pandangan mereka dan tidak kurang pula yang cuba mentafsirkan semula syariah menurut corak pemikiran mereka.

Bahkan tidak kurang yang mendakwa mentafsirkan syariah berdasarkan maqasid al syariah (objektif syariah) sehingga seolah-olah menolak nas yang sahih serta memperlekeh pandangan ulama khususnya ulama bermazhab.

Secara etimologi, syariah bererti aturan atau ketetapan yang Allah SWT perintahkan kepada hamba-Nya. Secara terminologi pula, syariah bermaksud penerapan seluruh aspek kehidupan, sesuai ajaran Islam yang berkait masalah ibadat umum dan khusus yang dinisbahkan kepada sumber hukum Islam.

Mahmud Syaltut mendefinisikan syariah sebagai aturan ditetapkan Allah SWT, supaya manusia mengadaptasi aturan itu untuk mengatur hubungan diri dengan Tuhannya dan hubungan dirinya dengan saudaranya Muslim, bukan Islam serta hubungan dengan alam semesta.

Hal yang demikian dapatlah difahami apabila Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah SWT menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat saja, tetapi Allah SWT hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu.” (Surah al-Maidah, ayat 48)

Rasulullah SAW bersabda: “Umat aku selalu berada di atas syariah, selama di tengah-tengah mereka belum nampak tiga perkara iaitu selama ilmu belum dicabut daripada mereka, selama di tengah-tengah mereka belum banyak anak zina serta belum nampak di tengah-tengah mereka ‘al shaqqaruun”. Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, apa ‘al shaqqaruun’ itu?” Rasulullah menjawab: “Manusia yang ada di akhir zaman yang mana ucapan antara mereka adalah saling melaknat antara satu sama lain.”

Enam ciri syariah Islam

Yusof al-Qaradhawi menegaskan ada enam ciri syariah Islam iaitu robbaniyah (ketuhanan). Oleh kerana syariah bersifat ketuhanan maka seseorang Muslim tidak mempunyai alasan untuk menolak syariah sebaliknya perlu meyakini hukum syariah paling adil dan sempurna.

Kedua, syariah insaniah (kemanusiaan) yang mengangkat martabat manusia serta memeliharanya. Ia dicipta untuk manusia dan sesuai dengan kapasiti manusia tanpa mengira ras, warna kulit atau status.

Syariah syumuliah (komprehensif) mengatur seluruh kehidupan manusia dan tidak secara terpilih dalam bidang tertentu saja. Syariah akhlaqiah (peribadi mulia) menjadi benteng kepada keindahan syariah Islam kerana tujuan Rasulullah SAW diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.

Syariah waqiyyah (realistik) bermakna Islam adalah benar dan realistik, tidak ketinggalan zaman, memacu kejayaan dan praktikal manakala syariah tanasuq (keteraturan) menjadikannya suatu sistem atau tanzim yang terbaik kerana ia tidak bertentangan antara satu sama lain.

Oleh itu, syariah adalah satu cara hidup bagi umat Islam dan ia tidak hanya perlu diamalkan mengikut bahagian tertentu saja. Namun dalam pelaksanaan syariah, kita perlu teratur dalam melaksanakannya kerana khuatir ia akan mendatangkan fitnah terhadap pelaksanaan syariah kerana tidak dipandukan nas jelas.

Menelusuri sejarah, kita akan mendapati penjajahan terhadap masyarakat Islam memberi kesan besar dengan meminggirkan sistem kehakiman dan undang-undang syariah yang mana bidang kuasa syariah dihadkan kepada undang-undang diri serta beberapa aspek kecil sahaja.

Pemikiran masih dijajah

Pembebasan penjajahan pula tidak secara automatik membebaskan umat Islam daripada belenggu penjajahan itu sendiri kerana benih penjajahan sudah bersemadi dalam jiwa umat Islam sepanjang tempoh dijajah.

Walaupun secara undang-undang negara sudah merdeka, namun pemikiran dan ketaatan kepada penjajah masih utuh dalam minda masyarakat. Hasilnya, kita dapati orang Islam sendiri menentang usaha mengarusperdanakan syariah. Hakikatnya, umat Islam lebih suka ditadbir di bawah undang-undang syariah berbanding undang-undang asing yang dikenakan terhadap mereka. Syariah tidak wajar diharmonikan dengan undang-undang lain tetapi undang-undang lain itulah yang perlu diasimilasikan supaya tidak tergelincir daripada landasan syariah.

Tiada pilihan bagi umat Islam untuk memilih jalan selain daripada Islam kerana umat Islam tidak teruja dengan kehebatan kemampuan akal fikiran manusia. Ini disebabkan betapa hebat manapun kemampuan akal fikiran manusia, ia masih lagi di bawah takluk dan kawalan Yang Maha Esa.

Begitu juga kebejatan akhlak, sahsiah diri dan tatasusila dalam masyarakat adalah hasil pengasingan agama daripada kehidupan seharian. Jika benarlah nilai hidup Barat itu yang terbaik kenapa masyarakat Barat sendiri seolah-olah tercari-cari arah tujuan dan penanda aras bagi masyarakat mereka?

Sekularisme perosak akhlak

Malah pandangan sekularisme yang membantah pemerintah mengawal moral atau sahsiah diri menjadi pemangkin kepada kerosakan akhlak masyarakat kerana terlalu bebas melakukan tindakan yang mereka fikirkan baik tanpa sesuatu piawaian yang selaras. Masyarakat menjadi lunak mengenakan gaya hidup yang mereka dambakan tanpa mengambil kira kepentingan umum.

Walaupun begitu, tidak bermakna semua yang datang dari Barat itu tidak baik. Memang tidak dinafikan ada kebaikan dalam sesuatu masyarakat itu tetapi kita perlu pandai mengutip yang baik, membezakan antara kaca dan permata supaya tidak menghakis jati diri umat Islam sendiri.

Segenap usaha perlu digembleng untuk mengarusperdanakan syariah, bukan sekadar mengharmonikan syariah saja. Kita perlu menjadikan syariah sebagai teras kehidupan dan bukan alternatif kepada sistem yang ada di depan kita masa ini.

Penulis ialah Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar (Presiden PPMM)  https://www.facebook.com/ZainulRijal

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/63483

Share The Post

Leave a Reply