Perlembagaan: Ruang laksana Islam

19Jun

Perlembagaan: Ruang laksana Islam

 

KEKELIRUAN sering timbul apabila seseorang itu bercakap tentang Perlembagaan. Bukan sahaja rakyat awam, tetapi sesetengah golongan berlatar-belakangkan perundangan juga keliru dengan peruntukan dalam Perlembagaan tersebut.

Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen undang-undang utama negara. Ia sebenarnya mengesahkan susun atur masyarakat sebelum kemer-dekaan  lagi. Ia juga merupakan dokumen tolak ansur antara kaum di Malaysia. Malah Suruhanjaya Reid yang menggubal Perlem-bagaan Persekutuan ini menerima banyak memorandum dari segenap lapisan masyarakat yang menyua-rakan hak mereka inginkan dalam sebuah negara merdeka.

Setiap rakyat Malaysia perlu menerima Perlembagaan Persekutuan ini mengikut kerangka dan skema berdasarkan kepada tafsiran-tafsiran yang telah diputuskan mahkamah dari semasa ke semasa.

Sebelum Perlembagaan itu sendiri ujud sebenarnya telah ada undang-undang sama ada berkuat kuasa sebelum kedatangan penjajah ataupun digubal semasa penjajahan itu sendiri oleh pihak penjajah. Beberapa peruntukan khusus mengenai undang-undang Islam juga telah terlaksana di Tanah Melayu, contohnya Undang-Undang 99 Perak dengan tegas menyatakan jika didirikan hukum Quran dengan undang-undang di dalam negeri nescaya amanlah isi negeri.

Menurut pakar undang-undang Perlembagaan tanah air terdapat tujuh ciri asas menjadi tulang belakang  Perlembagaan Perse-kutuan iaitu:

1. Islam sebagai agama bagi Persekutuan

2. Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan

3. Perlembagaan sebagai undang-undang utama Persekutuan

4. Pengasingan kuasa eksekutif, parlimen dan kehakiman

5. Raja berperlembagaan

6. Demokrasi berparlimen

7. Badan kehakiman yang terpisah dari penguasaan parlimen dan eksekutif

Ketujuh-tujuh ciri asas ini tidak boleh dihakis dari Perlembagaan kerana ia akan merosakkan Perlembagaan itu sendiri.

Pemansuhan ciri asas ini perlulah mendapat persetujuan daripada semua pihak terlibat seperti Raja-Raja Melayu, kerajaan dan juga rakyat pelbagai kaum, terutama orang Melayu yang merupakan anak watan negara.

Terdapat begitu banyak perun-tukan berkaitan Islam dan hak orang Melayu disebut dalam Perlembagaan Persekutuan. Antaranya ialah Islam sebagai agama bagi Persekutuan, hak kebebasan menganut, mengamal dan menyebarkan Islam, menggunakan dana awam bagi tujuan Islam, kedudukan terpelihara mahkamah syariah, pengecualian penolakan undang-undang Islam ketika darurat serta penetapan hal ehwal Islam terletak dalam bidang kuasa negeri.

Konsep negara sekular sebagaimana dicanangkan sesetengah pihak adalah tidak berlandaskan kepada Perlembagaan itu sendiri. Apatah lagi perkataan sekular itu sendiri tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan.

Akhlak Islam juga boleh dikawal dengan penggubalan undang-undang kesalahan jenayah syariah. Orang Islam tidak punya pilihan selain terikat dengan undang-undang Islam ini.

Ini adalah bagi meletakkan Islam di tempat sebenar, tidak diperlekehkan golongan yang ingin mempermainkan agama dan mengelakkan pendakwaan syarie semata-mata atas alasan mereka tidak lagi beragama Islam.

Walaupun ramai mengatakan Perlembagaan Persekutuan adalah batu penghalang untuk melaksanakan undang-undang Islam,   masih terdapat ruang-ruang boleh dimanfaatkan bagi kebaikan Islam. Tafsiran-tafsiran baru hendaklah diberikan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu kerana sifat perlembagaan itu sendiri yang hidup perlu diberikan tafsiran bersepadan tuntutan semasa.

Ia perlu ditafsirkan secara dinamik dan mengikut peredaran zaman agar Perlembagaan itu sendiri tidak ketinggalan zaman, di samping tidak mengesampingkan makna asal peruntukan Perlem-bagaan itu sendiri.

Umpamanya Islam yang suatu ketika dahulu ditafsirkan sebagai ibadah ritual sahaja perlu diberikan makna asal iaitu sebagai sebuah cara hidup.

Apa tersurat dalam Perlemba-gaan hendaklah dibaca dengan teliti dan yang tersirat pula hendaklah difahami dengan mendalam. Bagi saya terdapat banyak ruang untuk kita memartabatkan Islam dalam Perlembagaan.  Menghayati Perlem-bagaan Persekutuan itu sendiri bukanlah bermakna menolak Islam secara total.

Sumber http://www.sinarharian.com.my/mobile/kolumnis/zainul-rijal-abu-bakar/perlembagaan-ruang-laksana-islam-1.689988

Share The Post

Leave a Reply