Pluralisme agama bukan satu pilihan

23Dec

Pluralisme agama bukan satu pilihan

SETIAP agama mengajar kebaikan dan semua agama adalah sama. Itulah antara pegangan golongan yang mendambakan konsep pluralisme agama. Pluralisme agama secara ringkasnya bermakna menyamakan kesemua agama yang dianuti di dunia ini.

Tiada suatu agama yang mempunyai eksklusiviti terhadap agama lain. Konsep ini dilihat semakin hari semakin menular dalam kalangan rakyat negara ini dan masyarakat antarabangsa.

Prinsip pluralisme agama ini sebenarnya merupakan benteng teras aqidah bagi mempertahankan jati diri orang Islam. Jika punah teras ini sudah tidak bermaknalah keimanan seorang yang mengakui dirinya Islam itu.

Pada dasarnya dalam Islam orang yang tidak bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH dan Nabi Muhammad adalah utusan ALLAH tidak boleh dikategorikan sebagai orang Islam dan tempatnya adalah di neraka walaupun dia melakukan banyak kebaikan semasa hidupnya.

Hal yang demikian adalah disebabkan persoalan syahadah ini adalah sangat asas dan seorang itu tidak boleh tidak melainkan mengucap dua kalimah syahadah bagi menyempurnakan rukun Islam yang pertama itu.

Menyamakan orang yang tidak membenarkan keesaan ALLAH dan kenabian Rasulullah SAW bukanlah suatu perkara yang boleh ditolak ansur. Walaupun begitu Islam tidak pernah memaksa bukan Islam memeluk agama Islam. Islam menghormati anutan agama orang bukan Islam.

Ada sesetengah golongan yang cuba berlindung di sebalik kebebasan beragama bagi mempromosikan pluralisme agama. Mereka mendakwa bahawa Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memberi tiket kepada mereka menyatakan semua agama itu sama dan seseorang itu bebas menukar agamanya.

Pandangan ini sebenarnya tersasar dari kedudukan undang-undang.  Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan memberi hak kepada semua orang menganut dan mengamalkan agamanya.

Dalam bahasa yang mudah bolehlah dikatakan seorang Islam bebas menganut dan mengamalkan agamanya iaitu agama Islam. Begitu juga halnya bagi orang Kristian, Buddha dan Hindu. Perkara 11(1) tersebut bukan tiket bertukar-tukar agama sesuka hati ataupun bebas dari sebarang agama.

Menelusuri Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan pula, kita akan mendapati bahawa Perlembagaan itu sendiri memberi keistimewaan kepada agama Islam berbanding agama lain.

Oleh hal yang demikian tiada sama rata antara Islam dan agama-agama lain. Islam mestilah diberi kelebihan yang absah dari sudut undang-undang. Namun keistimewaan Islam itu bukanlah bermakna Perlembagaan membenarkan penindasan kepada agama lain.

Pluralisme agama ini sebenarnya tiada tempat dalam perundangan negara mahupun jurisprudens Islam. Ia mestilah ditolak kerana akan membawa kepada kekucar-kaciran dalam sosiobudaya dan masyarakat Malaysia.

Orang Islam dan bukan Islam mestilah bersetuju bahawa setiap agama adalah berbeza, tetapi perbezaan ini bukan menjadi punca kepada perpecahan. Perbezaan ini harus dihormati antara satu sama lain.

Umat Islam harus pandai menilai sama ada sesuatu itu baik atau sebaliknya. Namun dalam membuat penilaian itu, ia mestilah berasaskan kepada jurisprudens dan ajaran Islam itu sendiri.

Walau bagaimana baik pun seorang bukan Islam itu, dalam Islam amalannya masih tidak diterima oleh ALLAH kerana ketiadaan iman kepada ALLAH itu sendiri.

Keimanan kepada ALLAH dan Rasul-Nya merupakan prasyarat bagi perkara-perkara lain seperti amalan-amalan khusus dan umum.

Jika konsep pluralisme agama ini menjadi norma masyarakat di Malaysia, akan wujud suatu masa nanti agama dilihat sebagai penghalang kepada kemajuan dan kemakmuran masyarakat.

Ini adalah disebabkan seseorang itu bebas bertukar-tukar agama mengikut keselesaan sendiri tanpa berasa berdosa bertukar-tukar agama itu. Setelah bertukar-tukar agama akan muncul pula naluri keinginan bebas dari sebarang agama kerana dakwaan agama tidak dapat menyelesaikan kehendak dan naluri seseorang. Akhirnya akan muncul golongan yang tidak beragama.

Inilah antara bahaya pluralisme agama yang wajib ditolak, bukan sahaja oleh masyarakat Islam tetapi juga seluruh warga negara Malaysia. Biarlah persoalan aqidah yang begitu teras dalam Islam ini ditangani oleh para ulama Islam yang mahir dalam hal ehwal agama.

Janganlah masyarakat awam yang begitu teruja dengan kemampuan otaknya sendiri pula yang berlumba-lumba mahu mengeluarkan fatwa agama tanpa bersandarkan kepada nas-nas yang sahih daripada al-Quran, al-Sunnah serta pandangan ulama-ulama besar yang sudah diterima keilmuan mereka.

Apatah lagi orang yang tidak mendapat didikan agama juga begitu kuat menjuarai pluralisme agama ini seolah-olah merekalah yang berautoriti dalam hal ehwal agama Islam.

*Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Dipetik daripada http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/zainul-rijal-abu-bakar/pluralisme-agama-bukan-satu-pilihan-1.601911

Share The Post

Leave a Reply